BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, February 23, 2010

atas nama indie

Uh oh, apa ni? Kepada mereka yang menggelarkan diri mereka indie jangan cepat melenting. Apa itu indie? Dengan perkataan, Indie = independent, dalam bahasa Melayu bermaksud bebas, bererti merdeka dan bermakna berdiri atas kaki sendiri.

Saya sebenarnya agak segan untuk menggunakan ayat yang bermula dengan ‘i’ ini. Saya percaya ada penggiat indie sebenar di luar sana yang juga segan dengan label indie ini. Mereka-mereka ini saya percaya terdiri daripada generasi Beat, generasi Love dan generasi X.

Dari pemerhatian saya ke atas generasi Y dan generasi Internet yang memenuhi pesta-pesta indie hari ini, hampir kesemuanya saya sangsi kebolehan mereka membawa ideologi indie ini. Perkara yang buat saya cukup marah dengan mereka adalah ketika makan. Ya makan. Makan adalah satu bentuk ritual individu yang mana si polan itu menikmati nikmat rasa, menghayati tekstur-tekstur, dan mengunyah dengan penuh erotik. Makan ini adalah umpama membaca sebuah buku. Membaca novel Ahadiyat Akashah dengan 3-4 orang kawan karib serentak adalah pelik bukan?

“To be an adult is to be alone” –Jean Rostard

Saya cukup pelik melihat gelagat mereka yang tidak mahu dilihat makan berseorangan. Pergilah ke kedai mamak berdekatan anda dan cubalah cari mereka yang stylo gila nak mampus makan berseorangan. Malah pernah saya tercuri dengar seorang dari mereka berkata bahawa jika mereka makan berseorangan pasti akan dianggap gila. Ironinya saya selaku seorang yang selalu makan seorang diri ini merasakan orang lain yang gila. Isu makan yang saya tekankan ini bukanlah ditujukan kepada golongan yang menggelarkan diri mereka indie. Ini buat semua umat manusia.

Seperti indie, rempit juga adalah budaya media. Ya, indie (kini) adalah label yang diraikan media massa (seperti black metal dan lepak). Kita sedia maklum bahawa budaya yang lahir dari media ini (tanpa prejudis) pasti sesat lagi menyesatkan, sesesat seekor ular yang sesat di dalam zoo.

Saya cukup percaya tiada rempit yang akan membuat aksi stunt di parking lot kosong seorang diri. Mereka membuat aksi untuk dilihat dan mereka hanya berani bila ramai. Ini sama seperti mereka-mereka yang makan di kedai mamak tadi, malah sifat-sifat batin ini juga ada di dalam mereka yang menggelarkan diri mereka indie. Mereka yang bebas, merdeka dan berdikari ini makan pun nak berteman aik? Manja betul. Saya menamakan penyakit ini Sindrom Takut Makan Seorang.

Jangan silap sangka, saya tidak menyerang indie. Bagi saya ideologi indie adalah suci, sesuci sabun Breeze. Saya cuba menyerang penjenamaan semula indie yang dilakukan oleh media massa. Setahu saya indie ini adalah tatacara hidup avant-garde (mencari kelainan dan alternatif, untuk puaskan nafsu d.i.y). Mereka-mereka ini terdiri daripada golongan non-conformist dan counter-culture. Mereka-mereka ini adalah orang luar yang disisih oleh masyarakat dan oleh itu terpaksa bergerak secara sendiri dan berdikari. Apabila indie ini menjadi budaya popular, secara tak langsung yang mendukungnya menjadi golongan conformist, seperti apa yang berlaku sekarang. Dan indie ini yang diraikan oleh generasi Y dan generasi Internet. Maka tidak heranlah mereka-mereka ini meneguk Coke dan bukannya air tebu.

Saya suka bereksperimen dengan semua benda. Sejujurnya awal 2000 dahulu (sebelum letupan penjualan t-shirt indie secara mega) saya pernah dye baju dengan kertas A4 sebagai template. Mungkin anda akan anggap saya seorang amatur yang tidak reti menggunakan blok (silk screen). Jangan silap, saya menggunakan kertas A4 kerana konsep pakai buang, disamping mudah dan murah (cuma kena rajin potong). Saya ingin hasilkan kraf (hanya satu) dan di sini juga saya dapati tersemai ideologi anti-konsumerasi dalam jiwa saya. Kini penjualan t-shirt atas nama indie bermaharajalela. Waktu berlalu dan kini saya tidak ambil pot dengan apa yang tertera pada t-shirt itu, sebaliknya saya lebih peka kepada potongan t-shirt itu sendiri. Malah ingin saja saya cuba menjahit t-shirt saya sendiri.

Saya mengetahui tentang rancangan Kami beberapa bulan lepas (ya saya ketinggalan zaman). Saya percaya inilah titik tembusnya budaya indie ini ke media massa. Kelmarin saya menonton episod pertama di Youtube buat pertama kali (ironinya orang-orang lain sedang menonton previu filemnya).

Saya pernah 5 kali berpindah sekolah di sekitar KL dan Selangor. Di era 90an, mengikut pemerhatian saya, antara semua sekolah yang saya hadiri, Subang Jaya adalah kawasan persekolahan yang paling advance mentaliti pelajarnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada iconoclast dan anarchist. Walau bagaimanapun, selama 2 tahun di sekolah ini saya asyik dimasukkan ke kelas terpandai (tidak tahu kenapa). Oleh itu saya dikelilingi mereka-mereka yuppie hari ini isk isk.

Bagi saya, Kami (episod 1) mempunyai galur cerita yang menarik, tetapi saya cukup pasti jejaka-2 dan gadis-2 sekacak dan secantik model iklan X-Pax ini hanya ilusi kepuraan. Saya cuma mampu berharap agar mereka tidak kosong, sekosong …..(isikan tempat kosong).

Akhir kata, budaya perlu lahir dengan sendiri, bukan melalui media massa. Sekian

0 comments: