BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, February 23, 2010

Impak pengaruh band indie

SETELAH penganjuran kali pertamanya pada Julai tahun lalu berjaya mencapai sasaran, KL Tower Indie Fest kembali menggegarkan Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menghimpunkan 21 buah band indie tempatan, ia bukan hanya sebagai pentas untuk menaikkan populariti band ternama tetapi memberi peluang kepada bakat-bakat baru memperdengarkan muzik mereka kepada khalayak ramai.

Mungkin ramai yang sudah maklum dengan populariti Bunkface, Gerhana Ska Cinta atau The Times tetapi bagi yang kurang dikenali seperti Laila atau Redemptions, inilah masanya untuk mereka memasarkan nama masing-masing.

Daripada hanya dikenali oleh sekelompok kecil peminat, KL Tower Indie Fest diakui merupakan antara pentas terbaik dalam usaha mengembangkan pengaruh mereka.

Dengan dibanjiri lebih 6,000 pengunjung, KL Tower Indie Fest untuk tahun ini membuka tirai persembahannya seawal pukul 2 petang dan membawa hingga ke pukul 11 malam.

Band-band indie yang terlibat adalah Skudap Skudip, The Rhaman, Pinheads, Sinopsis, Redemptions, Restraint, Laila, Subculture, Statik, Koffin Kanser, Orang dan Couple.

Menginjak ke segmen malam, kelompok indie lain yang ditampilkan adalah The Splatters, Komplot, Bunkface, Love Me Butch, A.C.A.B, Republic Of Brickfield, The Times, Gerhana Ska Cinta serta Bittersweet.

Menarik mengenai KL Tower Indie Fest 2009 ialah sebilangan besar pengunjung yang hadir pada konsert tersebut merupakan fanatik indie.

Ini kerana, hampir keseluruhan lagu-lagu yang didendangkan band-band berkenaan mampu dinyanyikan secara bersama oleh mereka.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan menyaksikan persembahan band-band indie itu, ada sebilangan penonton yang dilihat bertindak membaling botol air mineral ke arah pentas.

Perkara itu terjadi sewaktu Bunkface yang dianggotai Sam selaku vokalis dan pemain gitar kedua, Paan (gitar utama) dan Youk (pemain bass dan penyanyi latar) sedang membuat persembahan.

Mujur, tidak ada apa-apa insiden tidak elok berlaku terhadap ketiga-tiga mereka.

Pada konsert itu, Bunkface yang ditubuhkan pada 2005 memulakan persembahan dengan lagu Bunk Anthem diikuti Situasi dan Revolusi.

Mengulas mengenai KL Tower Indie Fest 2009, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, penganjurannya pada tahun lalu telah berjaya mencapai sasaran dengan dikunjungi oleh 4,000 orang.

"Justeru, program ini telah dimasukkan ke dalam diari tahunan Menara Kuala Lumpur. Saya percaya, KL Tower Indie Fest akan mampu membawa muzik indie ke peringkat antarabangsa apabila ia mulai terkenal dan diminati ramai,'' katanya penuh yakin.

Zulkifli yang turut hadir menyaksikan KL Tower Indie Fest 2009 bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebelum ini pernah menyatakan perancangannya untuk mengadakan festival muzik indie yang lebih besar termasuklah mengadakannya di menara-menara di luar negara.

Bagaimanapun, jelas beliau, semuanya bergantung kepada sambutan yang diberikan oleh para peminat genre muzik berkenaan.

Katanya, Menara KL yang merupakan ahli persatuan menara-menara terkemuka di dunia juga akan berusaha bagi mendapatkan kerjasama daripada menara-menara lain untuk tujuan itu.

Jika perkara ini menjadi kenyataan, pastinya kita bakal melihat hasil karya indie anak tempatan menembusi pasaran antarabangsa satu hari nanti.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kebanyakan mereka juga mampu menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris yang dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

0 comments: